Friday, June 26, 2009

THE SECRET


...di sebalik tirai-tirai rahsia
itulah diamnya maksud
dari makna maujud
di langit tinggi.

Ia indah
justeru mesegnya
amanatnya
pesannya
bersifat batin.

Ia tersembunyi
Ia tenggelam
jauh di dalam

DIAM...
itulah yang INDAHNYA
bukan ucapan dengan KATA-KATA!


Kata bestari:
Sekiranya di dalam kamu ada harimau sekalipun,
simpanlah ngauman itu...
lahirkanlah kambing...
tidak-tidakpun kucing parsi
(si comel itu masih ada kukunya)!

Thursday, June 18, 2009

KEMBALILAH


ADUH!
Air yang berkocak di dalam cawan
sudah tumpah...
Basah dan lembab di sekelilingnya

Sekarang masa untuk kita sama-sama
bekerja sama
berpadu hati
menyatu tenaga
Keringkan basah itu...!

Jangan mencari lagi siapa yang loklak tu...
siapa yang cempera itu...
siapa yang tak semonggah itu...
Kita carilah titik awal
satukan hati sepertimana yang kita selalu alun-alunkan
di tingkap-tingkap rumah
di jendela-jendela banglo
di ruang-ruang jeriji besi
di corong-corong bibir
di celah-celah gigi dan gusi

Lapangkan dada
Dengan nikmat iman
dengan nikmat ehsan
dengan nikmat islam

Kalam yang qadim (al-Qur'an)
tidak akan jemu mendengarnya.
Kalam yang dapat membersihkan niat,
perbuatan dan kata.
Dengannya,
kurawat setiap penyakit.
Cahayanya,
menjadi panduan hatiku
yang digelapi kejahilan dan kekeliruan.
Wahai Tuhanku,
kurniakan kepadaku rahsia huruf-hurufnya.
Sinarilah hatiku
pendengaranku
dan penglihatanku dengannya.
AMIN.


-ALLAH ciptakan semuanya (blog) untuk kebaikan bukan untuk KONFLIK.

Tuesday, June 16, 2009

HIKMAH


Tidakkah engkau perhatikan
betapa Allah telah membuat perumpamaan:
bahawa sesuatu kalimah yang baik itu
seumpama pohon yang baik
pangkal akarnya terhunjam dalam
dan cabang rantingnya menjulang ke langit

Ia berikan buahnya setiap masa
atas izin Tuhannya
dan Allah membuat beberapa tamsil itu
bagi manusia
agar mereka selalu insaf

Dan gambaran kalimah yang pelik itu
adalah serupa pohon yang jelik
yang tercabut dari bumi
tiada baginya akar bertahan

Allah teguhkan pendirian
mereka yang beriman
dengan kata PASTI
dalam kehidupan di dunia
dan juga di akhirat
dan Allah sesatkan mereka yang menganiaya
serta Allah lakukan apa saja
yang ia KEHENDAKI.

(AL-QUR'AN: S. Ibrahim : 24-27)

TITIPAN RINDU SEORANG SAHABAT...




DARI BISIKAN SEORANG TEMAN.
(di akhiran sebuah sayembara)

Mungkin hari ini kita hilang sinar mentari,
kita hilang sinar rembulan,
kita hilang kerdipan bintang,
kita hilang langit yang terang

Besoknya... SUBHANALLAH
ALLAH ANUGERAHKAN KITA
SINAR PELANGI RUPANYA...!
(kita belum hilang harga diri)
ALFATIHAH untuk As-Syeikhul Zaman FATHI YAKAN.
p/s: terima kasih untuk teman dari seorang peminjam kata-kata.
DEDIKASI kepada PEMIMPIN KEBENARAN. Takbir!

Friday, June 12, 2009

SENJA YANG MARAH...


Selama sebulan schedule harian aku tak ketahuan. Selama sebulan juga rutin kehidupan aku tak keruan. Selama sebulan segala urusan rumah dan urusan tangga aku terabai sampai bersepai-sepai. Aku ada projek. Projek tender terbesar untuk tahun ini. Sekarang telah usai sebuah kepayahan. Sebulan juga aku lari daripada dunia luar. Berita panas, berita suam dan berita suam-suam kuku aku tak hirau, berita sensasipun aku dah tak ambil pusing. Dalam kelam kabut sebulan tu aku tak merasa bahang panasnya mentari. Aku tak terkena renik sinar mentari. Aku keluar rumah waktu pagi dan balik rumah juga waktu pagi. Jiran dan rakan jemaah surau cuma berselisihan dan hanya lambaian menemukan kami. Penting sungguh bunyinya. Memangpun sebab peluang ini datang tak selalu. Mungkin 5 tahun atau 3 tahun ataupun 2 tahun satu kali.
Lepas selesai aje projek tu... aku rasa cukup-cukup puas. Komitmen kawan-kawan mantap. Terima kasih sahabat. Sekarang aku free sangat-sangat. Laaa... dah rasa tak tau nak buat apa la pulak. Aku sebenarnya kalau lapang macam gini hobi aku mulalah bergerak. Aku belek sana ,aku belek sini. aku kubik situ aku kubik sinun. Aku buka akhbar lama yang dah beberapa hari aku tak baca tu aku beleklah sehelai demi sehelai. Terennng! Aku terjumpa berita lucu. Aku baca dan baca dan baca lagi. Aku baru tau rerupanya ada 2 berita panas yang baru berlaku. Kisah stadium runtuh di Gong Badak (bukan sebab disondol badak) dan satu pasaraya runtuh di Shah Alam.
Aku paling tertarik pasal kes STADIUM runtuh sebab stadium itu rasa aku bangunan baru di bina dan perasmiannya juga masih panas-panas lagi. Reben masa perasmiannya dulu pun masih ada kat situ.
Aku garu kepala. Bagunan baru dibina runtuh? Maknanya tak teguhlah dia. Kenapa tak kuat? Sebabnya er...errrr...errr sebab dia tak kuat lah kan? Heee!
Ini adalah true story. Aku tak tau nak jawab. tapi kalau cerita ni cerita kartun aku tau lah beri jawapan. Mungkin STADIUM ini runtuh sebab diserang oleh RAKSAKSA ganas yang bernama DRISSOH. Cuba kau orang pasti betul-betul ada tak raksaksa drissoh terperangkap dibawah runtuhan stadium tu!


-Langit Kuala Lumpur ketika ini berjerebu teruk. Minat untuk mengambil gambar agak kurang.
Gambar senja yang diatas tu aku ambik sebulan yang lalu ketika mentari masih lagi berlagu riang. SENJA YANG MARAH...SENJA YANG MERAH!

Wednesday, June 10, 2009

ANEKDOT KEHIDUPAN

Semalam, aku mengambil sedikit ruang masa pejabat untuk selesaikan masalah Bank. Perjalanan dari ofis ke bandar sedikit sibuk, biasalah waktu pagi. Boleh sampai dalam masa biasa 5 minit, tapi disebabkan sesak ia boleh mencecah ke setengah jam. Kata orang waktu puncak ...biasa le tu!
Kebetulan waktu agak awal dan bank yang aku nak pergi tu masih belum beroperasi. Aku mengambil keputusan untuk penuhkan perut dulu. Kosong sangat ni. Lapar. Aku ke gerai yang berdekatan dengan bank dan di dalam gerai tu aku perhatikan ada macam-macam orang. Bertali leher, berkot dan yang sempoi macam aku pun ada. Ketika aku sedang leka mencari pot untuk duduk tiba-tiba bahuku disentuh!
"Assalamualaikum lama betoi kita tak jumpa!"
Aku terkejut besar sambil menjegilkan apeture mata aku... lama aku tenung mamat tu. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Dia cuma sengih dan gelak ha! ha!. agak besar.

"Masya Allah hang ka... ingatkan sapa yang tegoq aku tadi... lama betoi aku tak jumpa hampir 20 tahun!" Dia adalah teman sekampung dan sama menyewa bilik dengan aku dulu.
Yarabbi aku bertemu dengan teman lama di sini. Kami pun berborak sakan tanpa menghiraukan orang sekeliling. Borak kami borak panjang. Sembang kami sembang yang panjang. Dari kisah kecil hingga kisah besar. Dari kisah satu Malaysia dah tahu hingga kisah yang cemerlang, gemilang dan temberang.
Tapi yang aku nak kongsi sama teman adalah kisah biasa yang amat menyentuh jiwa. Kisah lampau yang penuh nostalgia. Gini cerita dia...!
'Satu hari minggu sedang dia santai-santai dok belek akhbar arus perdana dan akhbar alternatif. Tiba -tiba dia terasa ada satu benda keras berada di bawah akhbar yang dia dok belek tu. Dia pun mengalih akhbar yang berlonggok tu dan teng! benda keras tadi jatuh kelantai. Berderau darah dia bila dia ternampak benda alah tu. Benda ini dah lama dia tak pegang dan benda ini dah lama dia tak tengok. Di pandang kiri dan kanan, sambil terfikir siapa yang keluar benda ni kat atas meja sisi dia.
Dia pun mencapai barang tersebut sambil memerhati 'teman lama' yang sentiasa mendampinginya dikala sunyi waktu bujang dulu.Lama betul dia tenung benda tu. Ada pelbagai warna menerawang dipundaknya. Semuanya nostalgia yang melankolia.
"Ooo ini abah punya ye?" Suara anak lelakinya tiba-tiba memecah ruang sunyi pagi itu.
"Abang terjumpa dalam locker meja tulis ayah...ibu cakap ayah yang punya!" Dia kelu seribu kata. "Kenapa.. kalau ini ayah yang punya?" Pertanyaan itu buatkan si anak tadi terlopong. Dia renung ayah dia yang berjanggut sejemput, dia tenung ayahnya yang berkopiah lebai itu.. lama-lama. Mungkin yang dia tak percaya yang abah dia yang punya benda tu. Selama ini dia tak pernah langsung tengok ayahnya pegang benda itu.
"Kalau ayah yang punya... abang nak ayah main benda tu!"
Hah! Ayah dah tak pandai main laa... lama dah ayah tak main!"
"Tak kira nak juga dengar ayah main benda tu!" Dia dengan perasaan serba tak kena nak juga tunjuk kebolehan dia kat anak dia. Dia balunlah satu lagu. Lagu yang dia dok biasa main dulu. Lagu Hati Lebur Jadi Debu nyanyian Hetty Koes Endang beralunkan tiupan HARMONIKA keramatnya dulu.
Aku kalau dengar dia main lagu Hetty aku pun suka. Apatah lagi anak dia yang tak tau apa-apa tu... asal ada bunyi o.klah tu. Termengah-mengah dibuatnya. Maklumlah umur dah meningkat nafaspun semput-semput mana boleh tarik nafas panjang-panjang. Mencungap. Ceritanya lagi habis satu lagu tu anak dia suruh main satu lagu lagi. Ahh... Dia sebenarnya dah tak tau lagu lain dah.. demi mau ambik hati anak dia pun pulunlah satu lagi lagu 'NEGARAKU'
Sampai habis lagu tu dia main. Anak dia bukan main suka sampai terlompat-lompat.
Sampai akhir dia cerita kisah dia dan kami ketawa sampai nak pecah perut. Aku terlupa tentang masalah bank dan asal destinasi aku tadi. Syahadan kami pun bertukar-tukar no. phone, kami pun berpisah dan berjanji akan bertemu semula. Setelah usai urusan bank akupun memandu semula ke ofis. Dalam perjalanan aku masih teringat kisah HARMONIKA dengan lagu HATI LEBUR JADI DEBU. Aku cuba ingat kembali melodi lagu tersebut sambil cuba mengingati bait-bait lirik lagu tu. Peh! Dah tak boleh ingat.. yang dapat aku ingat cuma ... 'Aku masih ... seperti yang dulu... menunggu mu sampai akhir hayatku.... nananananaaaaa ...ah aku tak ingat dah lagu tu!



-Kawan aku sekarang telah menjadi seorang peniup HARMONIKA PUJAAN anaknya yang tak terbanding.
Itulah KEHIDUPAN...ada suka ada dukanya.

Tuesday, June 9, 2009

PENUMPANG...


TAK PEDULI
siapa-siapapun
berilah dia sedikit ruang
untuk dia menumpang teduh, menumpang kasih,
menumpang manja,
menumpang rindu
atas nama KASIH.
Berilah dia sedikit ruang
memesrai nikmat hidup
di bumi ALLAH.
ATAS NAMA CINTA SEORANG kekasih kepada KEKASIH.

Sunday, June 7, 2009

KERAMAT


TERTEGAKNYA syiar Islam adalah lahir daripada kegigihan para mubaligh. Para Dai'e, para Mujahid yakni pendakwah yang tak pernah kenal erti kecewa dalam hidup. Sejarah mereka berjuang cukup dahsyat dan cukup mencabar.
Mereka menongkah arus dunia. Mereka menentang arus perdana. Mereka tidak pinggirkan maddaniyah. Mereka moden dalam ertikata sebenar.
Tamadun akal dan tamadun hati ummah lahir dari jerih mereka yang optimis.
Dakwah mereka berhemah. Asasnya AL-QUR'AN dan AL-HADITH menyentuh akal menyuci hati menyubur nurani. Mereka datang membawa ISLAM. ISLAM umpama air yang mengalir dari awan-gemawan. Melimpahi gunung-ganang. Kemudian turun membasahi seluruh pelusuk dataran lurah dan lembah. Subur iman. Merekalah PAHLAWAN. Merekalah WIRA sejati. PUSAKA mereka adalah PUSAKA SEMANGAT dan PUSAKA KETABAHAN yang menjadi simbol KERAMAT. TAKBIR!


p/s: Kepada mereka-mereka yang telah usai diberi mandat memimpin, pimpinlah kami kejalan yang benar dan lurus sentiasa diRedhai Allah!

Masjid Duyong Melaka- photoshop @ water colour

Thursday, June 4, 2009