Tuesday, April 17, 2012

Seminggu selepas kembali dari program Stop Lynas Save Malaysia di Kuantan, telefon genggam aku bergasak dengan pesanan pendek yang panjang berjela-jela. Datang daripada teman-teman yang otai-otai dalam baidang kartun. Ada yang positif dan tak kurang yang konotasinya amat kureng.
Terima kasih kepada sahabat yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan terima kasih juga yang tak berhenti-henti berpesan-pesan dengan kesabaran. Pesanan teman-teman amat-amat dihargai.
Jazakallahu khairan kathira.
Tertarik dengan nota pendek seorang kawan lama tentang kartun. Ya....kartun yang kami sama-sama gauli dulu. Kartun yang berhempas-pulas kami gomol dulu lantaran dateline yang sentiasa mengejar. Tanya dia pendek. "Pandangan tuan tentang kartun masih macam dulu juga ke?
Aku jawab ; "Ya, tak pernah berubah!"
"Walau tuan boleh dianggap mantan kartunis?" Mengasak satu lagi soalan yang sudah faham dan jelas, aku memang dah tak melukis kartun secara serius. (Lukis kartun cuma secara main-main untuk menghilangkan gatal tangan sahaja).
"Masih macam dulu tak berganjak. Kartunis perlu datang ke tengah-tengah masyarakatnya, lagangkan karya-karyanya, kerumitan semasa, keruwetan masyarakat kontemporari, seraya menghulurkan solusi. Perlu komited, perlukan sikap yang terbuka, toleransi dan kritis serta ada iman. Bukan asyik-mahsyuk dengan isu-isu melankolia yang absurd dan terawang-awang tidak berpijak di bumi nyata."

Al Qur'an:
'Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahannam itu kebanyakan daripada jin dan manusia, yang mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (Ayat-Ayat Allah) dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda Kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ( Kebenaran Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai ; (Al A'raf 179)




Wednesday, April 4, 2012

Mendepang hari yang sibuk.



Aku bersama dengan sebahagian daripada Kumpulan Kartunis Indipenden yang dikepalai oleh Kartunis Zunar menyertai satu program masyarakat di Kuantan. Program anjuran aktivis NGO Save Our Ocean, Save Malaysia Stop Lynas dan Pertubuhan Solidariti Hijau Pahang turun mendekati masyarakat sambil memberi kesedaran berhubung bahaya sisa radioaktif dan perlunya kualiti hidup di persekitaram mereka.
Program ini sebenarnya program amal, lebih merupakan tanggungjawab sosial para kartunis yang sedar akan peranannya sebagai agen perubahan. Acara yang berlangsungkan sebelah siang di Balok ialah acara melukis dan mewarna bersama kanak-kanak bawah bawah umur 16 tahun dari pelbagai bangsa. Sekitar 50 orang kanak-kanak menyertai acara ini. Acara melukis banner 'Stop Lynas save Malaysia' adalah reaksi spontan masyarakat terhadap kebebelan Kerajaan dan projek berbahaya ini.
Sebelah malamnya kami Ke Teluk Chempedak. Pantai yang bakal menghadapi kemungkinan bahaya kepada sisa nadir bumi selepas beroperasi nanti. Malangnya penyertaan kami tidak disenangi oleh pekerja Majlis Perbandaran yang bertugas pada malam itu, malah acara yang mendapat sambutan hebat itu beberapa kali diganggu dan disabotaj oleh pihak-pihak tertentu. Lampu limpah dipadamkan bahkan jualan buku kartun 'Moolaysia' karya Zunar dipaksa untuk dihentikan serta merta. Alhamdulillah acara karikatur spontan kami mendapat sambutan hebat dan kempen kami untuk 'Stop Lynas dan Selamatkan Malaysia' tetap berlangsung hingga jam 12.00 malam. Kemudian acara melukis karikatur itu bersambung pada sebelah siang dengan jayanya dan berakhir pada jam 1.00 tengahari. Selain Zunar, kartunis Jonos, Azman Mat Noh, Johnny Ong, Abdullah Jones dan beberapa sahabat kartunis tempatan menjadi bintang malam itu. Mereka dipuji. Mereka diberi penghargaan oleh Pengerusi Save Our Ocean dan Stop Lynas Selamatkan Malaysia, En. Tan Bun Teet. Katanya; "Dahulu sebahagian besar kartunis menghasilkan seni untuk mengejar sesuatu dan tidak ada kena -mengena dengan tanggungjawab terhadap masyarakat tetapi, hari ini ada sebahagian mereka sudah mula peka dengan soal-soal politik dan masyarakat. Syabas dan tahniah untuk mereka!"