Thursday, September 30, 2010

Obses pada mata hati.



Barang kali ajaib benar
kerana apa yang aku fikir
tidak sama
dengan apa yang aku nampak?

mata
umpama sungai yang mengalir
dan muara itulah hati
jika jernihnya sudah dikotori
maka keruhnya
akan berubah rasa...

Keruh di muara
tinggalkan bukan sedikit tohor
dan...
jelaga di mata
comotkan pandangan...

Jaga hati
jaga mata
TEGUHLAH IMAN.

Tuesday, September 28, 2010

Tingginya Budi.


Dengan nama Allah
Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Berbahagialah wahai sahabat...
ABU AYYUB AL ANSORI
atas kerendahan hatimu
Rasulullah dapat menumpang teduh
beristirehat panjang sebelum
kumpulkan semangat untuk membina insani.

Atas kepasrahan hatimu
Rasulullah mendapat izin kamu
untuk satukan hati-hati
yang bercaing-caing atas nama silaturrahim
ANSAR DAN MUHAJJIR...


dan...
Yasrib terus-terusan
menjadi 'Kota yang Bercahaya'
MADINAH AL- MUNAWWARAH...
(Kota kerinduan kau dan aku,
atas nama iman dan taqwa!)


- dalam kerendahan hati
ada kehebatan budi.
Allahuakbar!

Monday, September 27, 2010

ZAM-ZAM!


Sebenarnya,
Jarak antara kita
bukan jauh benar
terlalu dekat
terlalu hampir...

cuma...
antara dua bukit sahaja
antara Safa dan Marwa
...
Cukup untuk
berlarian
pergi dan balik
7 kali pusing
dengan tekad dan niat
yang tidak menyimpang...

Umpama Siti Hajar
berkejaran
mencari sesuatu
...
moga Ismail
terpelihara daripada musibah.

Subhanallah
Yang datang itu
biarpun sebesar tumit si kecil,
tetapi berkatnya terus melimpah-ruah
ke sekelian penjuru alam...

AIRNYA tak pernah henti...
ZAM-ZAM membesarkan Ismail...
mengagungkan Allah
Membesarkan Islam...

ZAM-ZAM...

Tuesday, September 21, 2010

BAHAGIA!



Dengan rasa rendah hati, maunya aku mengakui yang hakikat 'anak kunci' bahagia itu sebenarnya ada di tangan orang lain. Orang lain itu mungkin jiran kita sahabat kita dan orang yang ada di sekeliling kita!


"Barang siapa yang tidak menyayangi, ia tidak akan disayangi."
(hadith sahih: Bukhari, Muslim,Abu Daud)

Ertinya kita-kita akan lebih disayangi sekiranya kita menyantuni orang lain, memaaf dan dimaafi segala kesalahan, justeru hati akan rasa bahagia kerana kita telah nyahkan musuh yang tak disedari mungkin wujud di sekeliling kita.
Interaksi sosial akan bertambah ampuh dan penyesuaian berkomunikasi akan lebih berkembang dengan baik. Bersilaturrahim itu juga membantu memanjangkan hayat kita kerana orang yang rasa bahagia itu terhindar dari banyak penyakit. Penyakit yang nampak maupun tidak nampak.

Dalam banyak kajian yang telah dilakukan oleh ahli bijak pandai (psikologi) maupun alim-ulama',
mengesahkan bahawa, orang yang paling bahagia dan panjang usianya adalah orang yang pemaaf dan yang berkasih sayang sesama insan. Perasaan happy itu sudah cukup untuk buatkan hati, mereka dan jantung mereka imun dengan penyakit, terutamanya penyakit yang menyesakkan dada yakni jantung.

Sabda Nabi Agung Muhammad SAW:
"Iman salah seorang di antara kalian belum sempurna sebelum ia mencintai saudara(seagama)nya seperti ia menyayangi dirinya sendiri."
(bukhari/muslim: sahih)

Sunday, September 19, 2010

SYAWAL



Ramadhan
sudah berakhir
mengalir bagai air
menderu
ke sungai, ke alor
ke dataran
ke denai dan longkang
beri rahmat yang bukan sedikit
ALHAMDULILLAH.

SYAWAL
datang dengan
takbir, tasbih dan tahmid
tanda kemenangan selama sebulan
bebas dari hasutan iblis dan syaitan
Juga akan berakhir
perlahan-lahan meninggalkan kita...

Kita kembali semula
pada kehidupan yang bobrok
rumit dan kompleks
dengan pelbagai persoalan
yang tinggalkan noktah atau tanda soal
... tak terjawab?

Namun kita orang islam
walau serumit dan segawat manapun persoalan
kita tidak perlu lari dari permasalahan
andai diuji dengan sakit
kesakitan itu tetap ada hikmahnya
andai diuji dengan kepayahan hidup
penderitaan itu tetap ada nilai di sisi-NYA
jika kita sabar!

Wajibnya kita perlu kembali
ke 'kampung' kita
kampung asal-usul kita
'DARUL QUR'AN'

Inilah penawarnya
mujarabnya 'raja segala ubat'
untuk sakit di mata atau di hati
minda dan emosi
terapi abadi!

Tuesday, September 7, 2010

Mungkinkah?



"...jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya." (al nisa' :19)


Agungnya risalah Islam,
memberi manfaat,
kebaikan dan
penawar
pada hati-hati yang kering dan tandus
kasih dan sayang
insani...

Barangkali ini juga
hikmah besar pada bahtera
yang sedang di garisan
terkadang mungkin
olang-aling dipuput ombak dan badai
mengejar mawwaddah wa rahmah...

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasai tenteram kepadaNya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir." ( al Rum :30:21)



Sunday, September 5, 2010

BETUL-BETUL TERUJI!


3/9/2010
KPJ KAJANG
RAMADHAN pun berlalu
sayu di akhiran waktu...

inikah qadrNya?

Wednesday, September 1, 2010

Ujian & Ramadhan.



" Kamu akan diuji tentang harta kamu dan diri kamu dan kamu akan mendengar daripada mereka yang diberikan al-Kitab di kalangan orang-orang Yahudi dan Nasara dan juga dari orang-orang yang menyekutukan Allah. Kamu akan dengar daripada mereka ucapan-ucapan yang menyakitkan kamu yang tersangat banyak, (fitnah-fitnah mereka, kata-kata mereka, tulisan-tulisan mereka, tindakan-tindakan mereka yang menyakitkan kamu)
tetapi sekiranya kamu bersabar menghadapi ujian-ujian itu (samada ujian itu menimpa harta kamu atau diri kamu atau menyakitkan hati kamu) dan kamu bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata'ala (tetap berada di dalam manhaj yang betul dan kamu tidak menyimpang dari manhaj yang benar iaitu Islam), maka itu kekuatan dan kebesaran yang terdapat pada kamu yang akan memberikan kepada kamu keupayaan untuk menghadapi ujian-ujian itu dan meneruskan perjuangan itu kerana ia dapat mencapai matlamatnya." -Ali Imran (186)

Subhanallah, ujian ini sebenarnya adalah hadiah yang Esa kepada hamba yang dikasihi. Dia mahu angkat darjat kamu dan Dia mahu kamu tetapkan iman dan bersyukur serta redha dengan ketentuanNya!
Terkadang kita sahaja merasa yang kita ni sahaja yang menderita, kita ini sahaja yang tidak bernasib baik dan kitalah yang paling tidak berguna jika dibandingkan dengan orang lain. Tidak! Allah tidak menzalimi hambanya dan jangan bersangkaan begitu dengan Allah.
Mari kita positifkan minda dengan melihat dari sudut yang lain. Ujian, tohmah, mehnah dan tribulasi yang kita terima bertalu-talu itu dengan hikmah!
Untuk mempertingkatkan keimanan kita itu mungkin dan memperteguhkan keyakinan kita juga tidak mustahil. Sudut yang lainnya pula Allah mahu memberi kesempatan kepada si zalim dan penzalim itu sedar dan segera insaf serta taubat lalu kembali kepada Allah Subhanahuwata'ala. Ingat! Jangan menyangka mereka yang zalim itu boleh terlepas dari pandangan Allah, tidak,sesungguhnya azab Allah Maha pedih.

RASULULLAH JUGA DIUJI.

Kisah Muhammad S.A.W juga tidak terlepas daripada ujian. Bahkan ujian-ujian yang bertimpa-timpa keatas baginda bersilih ganti. Ketika kecil, baginda kehilangan ayah dan bonda. Kehilangan yang sesiapa juga akan emosi dengan ini. Ketika mahu menegakan agama Allah jua baginda diuji bertali arus. Taif sebuah destinasi kecil berhampiran Kota Makkah pernah jadi saksi yang Baginda hampir kuyup dibasahi darah akibat dari rejaman batu kerikil oleh kaum kafir. Badar Al-Qubra juga begitu memilukan. Perang yang berlaku di bulan Ramadhan antara Quraish Mekah 1000 orang dan Muslimin 313 orang itu bukan sedikit yang menguji Rasulullah. Saidina Hamzah menjadi korban syahid, malah jenazahnya dicaing-caingkan oleh puak kuffar memang meruntun jiwa.
Kematian Isteri tercinta Saiyyidina Khadijah juga amat meruntun emosi Muhammah Rasul Allah. Wanita Pertama itu merupakan tulang belakang kepada perjuangan Nabi. Bayangkan orang yang menginfaqkah seleuruh jiwa raganya kepada Perjuangan Islam telah tiada di sisi?

Hanya selingkar kisah tentang ujian yang Allah datangkan kepada hamba-hambanya. Jika kita diuji dengan pelbagai masalah, bertenang-tenanglah kerana ada hikmah lebih besar menanti.
Berdoalah (Ramadhan bulan mustajab doa) dan jangan jemu memohon pada Allah kerana Allah Maha Kaya. Kasihilah Allah lebih daripada segala-galanya. CintailahNya melebihi cintan-cintun kita sesama makhluk:

"wahai Tuhanku,
Apabila sah aku mendapat kasihMu,
maka segala-galanya di dunia ini tidak ada erti lagi.
Kerana apa yang ada di atas tanah ini adalah fana'."
- Rabbi'atul 'Addawiyyah