Wednesday, March 30, 2011

TAKDIRNYA BEGITU...




PAGI
Ketika matahari sedang menyelinap di hujung puncak Banjaran Titiwangsa
burung-burung menebarkan kepak
keluar dari sarang dan terbang...

(seorang insan datang seperti bayang)
dia menyelak selembar kehidupan
dengan titisan air mata yang tumpah
dan menjijis-jijis di kelopak
jadi basah dan lembab.

Basah dan lembab itu meresap
bergenang di hatinya
bertukar menjadi
sebuah nota kecil
yang terukir ;
KETENTUAN ALLAH.

Monday, March 28, 2011

PEJUANG...




BARANGKALI...
jika kamu gugur
dan jasadmu itu bergelimpangan
dengan darah-darah yang merah
mengalir
mereka anggarkan kamu itu mati... sia-sia?

Itu kata mereka...
tidak kata Tuhan...

Gugurlah kamu walau di mana saja;
di tepi jalan-jalanraya.
di persisiran pantai
di dalam hutan banat manapun
darah yang memerah mengalir itu
tidak akan berhenti menitis:
titis-titis darah itu akan terus mengalir
dengan haruman kasturi
sepanjang jalanmu ke syurga!
syurga paling tinggi darjatnya FIRDAUSI.

Berbahagialah yang gugur di jalan Allah
hidup mencari syahid!

Saturday, March 26, 2011

SIRI-SIRI KONSPIRASI.





KEBERANIAN
SUDAH MENJADI MATAHARI
KETABAHAN
MEMBUMI DALAM DIRI.

Beriman kepada Allah dan hari akhirat adalah sumber inspirasi yang subur dalam hati nurani.
Bertolong-bantu sesama insan baik masa senang biar masa suram itu telah menjadi keutamaan. Mencintai sesama saudara seperti menjaga diri sendiri bahkan kadangkala lebih kepada kawan daripada menjaga diri sendiri. Merelakan apa sahaja kerana Allah, itulah yang membuatkan keberanian itu terus datang. Walau dihalang, walau terhalang itu bukan alasan untuk berhenti dari menyatakan kebenaran dan keadilan. Inilah hasil bimbingan hati nurani orang-orang beriman, penuh dengan kejujuran InsyaAllah, bila yang HAQ itu datang, KEBATHILAN akan sendiri terbakar hangus.


-AMARAN : KEPADA PEMBUAT MAKAR, KEMBALILAH KEPADA IMAN!

Wednesday, March 23, 2011

PESAN PADA HALIMUNAN.



Dunia
itu akan menjerat
ahli-ahli yang cinta dunia sepenuh hati
dan takut akan mati...

Dunia akan bebaskan ahli-ahli
yang cinta mati dan takutkan dunia
sepenuh hati!

Kerana :
dunia cuma tempat persinggahan;
tempat permainan
sebelum singgah dan kekal
di ALAM ABADI.


KISAH KEDAI KOPI ;

Berputar pada kisah FITNAH BERSIRI.
Lokasinya di kerusi bahagian hujung kedai kopi mamak. Kotak rokok ada tiga kotak atas meja. Pemetik api jenis Ronson ada dua. Satu merah saga dan satu lagi biru pekat. Roti canai dan teh tarik masing-masing sepasang. Menjadi peneman bersembang. Asap rokok berkepul-kepul atas kepala dan menerawang memenuhi kedai kopi tersebut. Mereka bersembang penuh semangat dengan berpandukan surat khabar yang gah 50 tahun merosakan emosi dan intelektual masyarakat madani. Bahagian muka depan surat khabar hari ini menjadi tajuk perbualan. Cara perbualan dan aksi jengkel dan memualkan berselang-seli dengan perbualan mereka. Mungkin mereka ini juga terdiri daripada kumpulan masyarakat gred 3 yang selalu terpesona dengan kenikmatan dunia melebihi nikmat ukhrawi!

LELAKI A : Apa punya mangkuklah mangkuk-mangkuk yang bergelar 'Datuk T' tu...
(Blabalubalablubalablublablubla....merepek meraban penuh carutan)

LELAKI B : Betul kata kau. Kalau nak berbohongpun patut-patutlah jangan sampai terlalu bodoh hingga susah orang nak percaya. Bila dah berlaku begini, semua jadi susah. Kita susah, pemimpin-pemimpin kita susah dan kita sebagai ahli parti juga turut dapat malu dengan cerita merepek-meraban macam ni!

LELAKI A : Menyedut asap rokok dalam-dalam. Diam memerhati sahabatnya sedang meradang sambil meronyok-ronyok surat khabar yang menjadi 'tuhan' mereka. Dia capai surat khabar yang berkeronyok itu dan membelek muka 'Trio T' itu dengan penuh kejengkelan.
"Dulu dia juga yang buat hal dengan budak bawah umur. Orang tak boleh lupa perangai buruk dia tu....Walau dia dibersihkan di Mahkamah tetapi orang macam ni orang dah tak mau. Dia kena duduk diam-diam di rumah. Jangan lagi terlibat hal parti lagi...!" Dia bersuara lagi. Kali ini dengan satu lagi siri konspirasi fitnah bersiri yang tetap mahu menjahanamkan 'HERO' yang mereka takut itu.
"Kalau aku. aku buat rakaman video kat luar negara, pergilah kat Ulan Bator ka..... kat Maldive ...ke kat mana-mana tempat yang orang tak kenal.... barulah class sikit."

Mereka pakat-pakat gelak. Gelak dengan satu lagi teori bodoh mereka yang sama sahaja standard dengan 3 MANGKUK T tersebut!

- p/s- BANYAK BETUL ORANG BODOH!

Wednesday, March 16, 2011

DIA...




DIAlah...
yang telah menitipkan ketenangan
di dalam hati orang-orang mukmin
supaya keimanan mereka bertambah
di samping keimanan mereka yang sedia ada...

Dialah
yang telah melarutkan ke dalam jiwa
mereka dengan rasa taqwa,
kesedaran dan ketulusan hati
yang terpamer dalam bentuk
sikap, amal dan perbuatan
seraya keinginan bertanggungjawab
terhadap persaudaraan
sesama manusia dengan
istilah pengorbanan!

Saturday, March 12, 2011

hamba...




DI sebalik
bongkah batu
pasir dan kerikil
yang besar-besar itulah...
AKU sang debu.

Monday, March 7, 2011

iLuvislam...


Bagaikan berada di kayangan
terbang di langit tinggi
bermain-main dengan kepulan awan.

Perasaan itu tiba-tiba menerpa ketika tuan punya badan melihat sendiri
hasil karyanya terpampang di akhbar.
Memang agak lama tak pernah berperasaan sedemikian. Walaupun masih berkecimpung
dalam arena penerbitan tetapi karya kartun dah lama ditinggalkan. Paling akhir sekitar tahun 2003 (kalau tak silap) kartun empunya diri ada terbit dalam majalah kartun 'APADIA'; selepas ditamatkan penerbitan, maka tiada lagi karya sedemikian menemui pembaca.

Pagi tadi ketika membelek tabloid 'iLuvislam' terkini dari satu lembar ke lembaran lain, akhirnya mata terpaku pada helaian 37 edisi 4mac-10mac 'alhamdulillah' melantun keluar dari ruang kerongkong.

Senyum. Semuanya atas urusan Allah, detik hati. Tak minta untuk diterbitkan, tetapi
peluang itu datang tak diundang. Ini kes kartunis yang terdahulu menghadapi masalah peribadi (mungkin) tak dapat meneruskan khidmatnya. Kebetulan Editor iLuvislam (tabloid) itu merupakan sahabat lama. Dia Memohon pertolongan untuk mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan itu. Dateline sudah agak kritikal.

"Azmi...nak minta tolong laaa....boleh?" Perbualan melalui telefon mudah alih Blackberry.
Suara Saharom siapa yang kenal tahulah, boleh terjurai air mata punya intonasi. Hehehee...
"Haa...insyaAllah ... dapat tolong....err tolong apa tu?" Sedikit terperanjat.

Dia berceritalah apa hasratnya dan apa tujuannya dan akupun mengangguk dan sama-sama berhasrat membantu. Bahu-membahu dalam kerja baik itu rezeki juga. kan?
Setakat hari ini sudah enam keluaran 'iLuvislam' berada di pasaran (keluaran Karangkraf ) memuatkan kartun aku.
Ini sumbangan kecil aku, proposal yang bermanfaat untuk dibawa mengadap Robbuljalil ketika hari yang mana kita bangun dan tidak dibenarkan bercakap menggunakan mulut dan lidah.
Ilmu yang bermanfaat itu pembuka pintu syurga!
InsyaAllah! Tak seberapa sumbangan tetapi kalau tidak pasir, debu juga amat bermakna!
Semoga karya Islamik terus berkembang.

Friday, March 4, 2011

TUNAI TANGGUNGJAWAB.




ALHAMDULILLAH.

Doa
untuk disingkirkan
akhirnya tersingkir.

aku kini sang MANTAN
Mundar mandir tanpa jawatan.

KEKAL SEBAGAI
HAMBA ALLAH...
...



Thursday, March 3, 2011

Esok...




InsyaAllah
kita mungkin akan bertemu
pada hari seperti yang dijanjikan
untuk bertemu.

Kita
mungkin akan berbicara
dan berdiskusi
tentang soal-soal hidup dan mati,
soal manusia dan manusiawi,
soal emansipasi,
atau soal...
Laut : polusi yang tak pernah mati, hingga bosankan coral dan karang
yang mahu bernyawa.
atau
burung yang yang keluar pagi kerantung kosong dan
pulang petang kerandutnya sendat dan tegang.
ataupun
soal rimba yang gondol dan botak
ataupun juga
soal paya : yang berkeliaran anak-anak seluang
yang menodak di gigi-gigi parit
padat dengan menerung...

Mungkin juga
soal batin tidak terisi
dan
mungkin
kita hanya berdiri di atas jambatan.
Engkau diam membisu
selesa melihat air sungai mengalir lesu
dan aku berdiri diatas jambatan
memandang ke kiri
menggentel-gentel daun diragut dari dahan pokok bunga
sambil merenung sungai yang cetek dan tohor?

Akhirnya kita saling berpandangan
dan mengucapkan selamat jalan
dengan harapan kita jumpa lagi di lain waktu
ditempat yang sama!

Tuesday, March 1, 2011

PERANGsang!





Sang semut sudah mula menjalar
deria baunya sudah terhidu
aroma manis yang mengebu-gebu...

Kita mesti keluar
dari pertapaan kita sekarang!
Kita mesti tinggalkan persembunyian kita sekarang
hak kita sudah mula dicabar
maruah kita sudah diinjak-injak.

Tunggulah sang penguasa
yang adil itu bila kau terjah
kau akan tahu mana tercampaknya engkau.
ular-ular, kala, jengking, lipan, bara
semua semua sedang menanti penuh minat
semua menunggu penuh debar

Ayuh! Kita gerak sekarang
kita buka simpulan yang penuh kusut
dengan satu tekad
ALLAHUAKBAR!

war 2



war...