Wednesday, August 3, 2011

RAMADHAN 1432H.





SINAR pagi hari ini
pancarannya mulus
matahari pagi penuh rona
seiring dengan harum kasturi
semerbak datangnya
Ramadhan KAREEM!

Doa
beralun bagai nyanyian
sang unggas yang riang waktu dhuha
menari atas ranting
pohon bunga mawar
sedang merah...

Rahmah senyum
di awal Ramadhan!

-sabda Nabi dari sang perawi at-tirmizi yang sahih:

"Tiga golongan yang tidak dinafikan doa mereka,
pemimpin yang adil, hambanya yang berpuasa sehingga
datangnya waktu berbuka dan yang dizalimi hidup mereka"

Thursday, July 28, 2011

deru angin yang mendesir.




Memerhati dengan leka sepasang burung ciak
bermain-main di hujung ranting pokok kemboja bewarna merah jambu
Tidak pasti yang mana satu jantan dan yang mana satukah yang betina?
Dua-dua riang bergurau,
menggeselkan kepala pada pelepah sayap
dan mengibar-ngibar bulu dan kemudian terbang.
Ranting kemboja merah jambupun bergoyang
melentuk kekiri dan melentuk ke kanan
akhirnya tak bergerak!
Tinggal hanya bunga kemboja
merah jambu
saban waktu ditelan zaman
pudar.

Begitukah hidup?
Kitarnya bagai sebuah perjalanan
yang datang mendesir bagai angin
menghembus, memulas dan menghempas
kemudiannya diam tidak bergerak!

Aku...
kembali berharap
agar sepasang burung ciak itu
datang lagi bermain-main
di ranting bunga kemboja warna merah jambu
sebelum musim luruh
menggugurkan kelopaknya.

Wednesday, July 6, 2011

BERSIH!





PERJALANAN hidup kita
penuh berliku
di kiri dan kanan seputarnya
begitu mencabar
sulit- menyulitkan
provokasi dan tribulasi
teriring mengiringi.

Kita harungilah bersama-sama
dengan penuh ketabahan!

Saturday, July 2, 2011

bila PAGAR runtuh di tanjong!






"Saya juga sangat sedih, oleh kerana terpaksa mencari lain tempat untuk berniaga. Memang susah sikitla sebab sini berniaga banyak lama...tahun tujuh puluh enam dulu sampai sekarang. Banyak susah saya punya hati kerana mau cari tempat baru dan cari customer baru. Yang biasa dengan saya juga sudah tarak jumpa lagi...Tapi bagi saya kalau ada awal mesti ada akhir! Ini Tanjong Pagar punya Railway station memang saya ingat selagi hidup."

M. HASAN PENIAGA KANTIN KTM TANJONG PAGAR.

"Akak tak boleh cakap apa-apa sebab sedih sangat. Ada sentimental value yang saya tak boleh lupa kerana saya berkenalan dan berkahwin dengan suami saya, asal pertemuan di stesyen KTM Tanjong Pagar laa..."

SITI AMINAH BURUH AM DI KTM TANJONG PAGAR.

Sempat merakam detik-detik akhir KTM TANJONG PAGAR diserah sepenuhnya kepada Kerajaan Singapura. Dalam rintik dan gerimis hujan, aku berpusing seputar stesyen untuk mencari sudut-sudut seni untuk dirakam buat tatapan rakan dan saudara senegara.
Memang ramai yang datang dan memang ramai yang tidak lepaskan peluang mengambil apa yang patut sebagai kenangan, Terutamanya gambar seni mural, objek klasik seperti tombol pintu, tingkap, tulisan melayu lama dan sebagainya. Pendek kata apa sahaja yang boleh dijadikan sebagai kenangan akan menjadi sasaran kamera pegun atau kamera video pengunjung saat itu.

Sangat tersentuh bila melihat kontraktor yang ditugaskan untuk memunggah stesyen KTM itu mengangkut satu persatu barang-barang perabot, karpet dsbnya. kesedihan jelas terpancar di wajah pelawat yang sudi hadir buat kali terakhir di steyen KTM yang akan bertukar tangan kepada Kerajaan Singapura 1/julai/2011.

'Pemimpin yang berdegar-degar menghunus keris mempertahankan ketuanan melayu tiada kelihatan di sini. Pemimpin yang kononnya jaguh dalam isu-isu umat melayu langsung tak memunculkan diri. Pemimpin yang menjadi 'KEBANGKAAN' melayu juga tak nampak batang hidung. Sepatutnya mereka-mereka inilah yang kita soal, kita interview dan kita ambil maklumat, apa yang telah mereka lakukan atas nama melayu?
Tapi orang-orang itu sudah lepas tangan dan cuci kaki tidur senyap dalam kelambu masing-masing!
TANJONG PAGAR dan KTM sudah jadi sejarah .

- nama-nama yang dirakam di atas tiada kaitan dengan kes Tanjong Pagar Singapura. Hanya rekaan semata-mata. Harap jangan terkilan!

Sunday, June 26, 2011

segalanya mungkin?

Kisah malang si Abu
tercampak ke penjara
merawanlah dia
akan untung sabut yang timbul
untung batu tidak timbul.

3 tiga lelaki kesemuanya berwajah ganas.
Lelaki A : wajahnya garang dan ada sedikit parut di pipi kiri.
Kesan jahitan jelas sekali.
Lelaki B : wajahnya juga garang, sesuai dengan warna kulitnya
coklat gelap. Keningnya sedikit cacat ada kesan parut panjangnya 2 inci.
Susah untuk dilihat senyum melainkan masam sahaja mukanya.
Lelaki C : Kulitnya cerah dan ada tompokan di bahu kanan seperti tatoo wajah naga.
Bengis dan pendiam.

Lelaki A, B dan C menerima teman baharu hari ini.
Pintu sel dibuka. Badan si Abu didorong secara keras. Si Abu terhenyak ke dalam
sel tersebut. Terpinga-pinga dengan suasana yang begitu asing dan menggerunkan.
Tak tergambar langsung yang dia akan tercampak ke sini.

Lelaki penghuni lama sel tersebut bangun serentak menuju kepada Abu.
Mata mereka bulat dan bundar. Abu memberanikan diri melawan
mata 3 lelaki ini. Dia sebenarnya bukan berani sangat tetapi terpaksa juga buat muka ganas dan garang. Berharap agar 3 lelaki yang akan menjadi kawannya merasa sedikit gerun dengannya.

"Saya Abu!" Dia cepat-cepat perkenalkan diri. Psikologi dimainkan untuk memotong rasa gentar. 3 lelaki tersebut terangkat kening serentak dan saling berpandangan.

" Kami 1Malaysia...saya Rojeeb, ketua sel ni..., yang ini Patha dan ini Soo Hun!"
Mereka bersalam dan saling bertakruf.
Abu mula beranikan diri bersembang dan sahabat barunya juga sudi melayan segala pertanyaan yang dilemparkan oleh sahabat baru mereka. Mereka memperkenalkan diri pada Abu.

Lelaki A @ Rojeeb : Pesalah kes bunuh seorang wanita 12 tahun yang lalu.
Lelaki B @ Patha : Pesalah kes bunuh dan rompakan bersenjata 10 tahun yang lalu.
Lelaki C @ Soo Hun : Pesalah bunuh abangnya tanpa niat 8 tahun sudah.


" Kami sudah perkenalkan diri...Lu apa kes bro? Tengok sama muka ini mesti kes
mandotori punya salah!" Kata Soo Hun kepada Abu.
" Orang melayu banyak kes itu 39B saja ..." Sampuk Patha.
Abu mula bersuara perlahan dia memberi tahu...." Salah saya sebab PAKAI BAJU KUNING!'

- Arakian diberitakan bahawa 3 lelaki garang dan ganas tersebut ketawa secara berdekah-dekah selama 3 malam tanpa henti. Keh! Keh! Keh!

(cerita ini tidak ada kena-mengena dengan orang yang susah mati atau susah hidup!)

Monday, June 20, 2011

pesan- pesan sekilas!




Sahabat
jangan berpatah balik ke lembah sukar
lembah itu curam dan kelam
penghuninya binatang
binatang-binatang itu liar dan garang
...

-dedikasi untuk seorang teman
kartunnya jadi medan laga.

Monday, June 6, 2011

SURPRISE!




TAHNIAH ZUNAR!

ATAS PENGIKTIRAFAN
ANTARABANGSA
atas sumbangan anda
untuk dunia kartun.
-Tumpang bangga!