Friday, August 28, 2009

hadiahnya adalah LAPAR!

Yang paling ditunggu-tunggu dan paling nikmat bagi para sahabat Nabi tatkala dapat sambahyang jemaah bersama Rasulullah.Inilah masa yang paling tenang dan kudus memenuhi dada para sahabat.
Suatu ketika ketika para sahabat solat berjemaah berimamkan Rasulullah.
Suara baginda begitu mendayu-dayu dan lemah sekali pada rakaat pertama. Sesetengah sahabat dapat merasakan getar suara yang tertahan-tahan keluar dari suara baginda.
Setiap kali tika rukuk dan sujud, kedengaran bunyi-bunyian yang bergemerincing. Seolah-olah sendi-sendi tulang baginda bergesel.
Selepas salam dan doa, Saidina Umar tampil di sisi baginda.Mata baginda diperhati dalam-dalam. Suasana cukup bening.
"Adakah engkau sakit, ya Rasulullah? Soal Umar perlahan.
Rasulullah menggeleng kepala sambil memandang tepat ke wajah sahabatnya itu."Alhamdulillah ana sihat."
"Engkau sakit ya Rasulullah?" Umar memangharapkan kepastian.
Baginda cuma senyum seraya menyembunyikan penderitaannya.
"Setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami terdengar sesuatu berbunyi. Seakan sendi tuan bergesel di tubuh tuan. Kami yakin tuan sedang sakit? Desak Umar lagi yang cemasnya semakin jelas di wajah.
Akhirnya Rasulullah tewas dengan bujukan itu. Rasulullah mengangkat jubahnya. Alangkah terperanjat para sahabat ketika itu. Dengan mata kepala sendiri menyaksikan betapa kempisnya perut seorang Kekasih Allah. Satu lilitan membaluti tubuh yang dipenuhi dengan kerikil-kerikil kecil. Rupanya Rasulullah sedang bermasalah. Kerikil dan batu-batu itu sebenarnya adalah untuk menahan rasa lapar. Kerikil-kerikil itulah yang berbunyi ketika Rasulullah mengerakan tubuh ketika solat tadi.
Dengan perasaan yang cukup hiba Umar merintih penuh simpati. "Ya Rasulullah! Adakah baik kelakuan kami, bila Tuan lapar dan tidak punya bekalan makanan, kami hanya berdiam tanpa membuat sesuatu untuk Tuan?"
Tangisan Umar semakin nyaring. Sahabat-sahabat yang lain tersedu dan meratap pilu mengenangkan nasib Rasulullah. Rasulullah memandang wajah-wajah para sahabatnya dengan senyuman. Baginda cukup arif, kasih para sahabat-sahabatnya cukup padu. Bukan setakat harta benda waima dengan nyawa sekalipun para sahabatnya sanggup pertaruhkan. Mereka sanggup korbankan segala-galanya demi kasihkan Rasullullah.
"Tidak wahai sahabat, aku tahu, apa-apapun yang kamu semua korbankan Demi Nabimu. Tetapi apa yang akan aku perkatakan bila berhadapan dengan Allah suatu hari nanti, aku sebagai pemimpin membebani umatku? Biarlah....biarlah kelaparan ini menjadi hadiah daripada Allah buat Rasulnya. Biarlah ...jangan ada rakyatnya yang miskin dan kebulur di dunia mahupun di akhirat kelak." Seru Nabi kepada sahabat-sahabatnya yang sedang sedih itu.
Akhirnya mereka bersurai. Masing-masing keluar dari masjid dengan perasaan sedih dan mengabadikan perasaan sayang yang agung terhadap Rasulullah.



-Kisah dan teladan. Zaman moden ini seorang ketua tidak sanggup berlapar. Mereka tidak sanggup bersusah payah untuk rakyat. Pangkat dan kedudukan menjadi lesen besar untuk mengaut segala habuan di dunia yang sementara sifatnya.

2 comments:

  1. Lapar & dahaga akan menundukkan nafsu, insyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Tolong, ana kena banyak belajar...ni tengah LAPAR DAN DAHAGAKAN ILMU ALLAH!

    ReplyDelete